Sunday, October 27, 2013

Siapa curi muffin Kak Rozi??

                     Kami mula betul-betul berniaga adalah pada Januari 2007. Masa itu tak banyak produk bakeri yang dapat kami hasilkan sendiri, maka kami ambil dari kawan-kawan seperti Kak Rozi dan Chef Ramli ( sekarang chef dah jadi staff The Bakers Place). Kak Rozi selalu letak muffin coklatnya di kedai kami, biasanya  memang habis dijual dalam masa beberapa hari. Tapi satu hari tu muffin tersebut habis dicuri dengan bakul-bakulnya sekali. Masa tu kedai kami memang konsepnya " open air", bila dah sibuk buat kerja tak perasan orang masuk kedai. Kami tak suspek siapa-siapa, cuma akak suratkhabar cakap dia nampak budak-budak sekolah sedang berpesta makan kek kat tepi tangga di hujung kedai. Maka kami pun pergi menyiasat kalau-kalau ada baki muffin yang sebanyak 30 biji tu, tapi yang kami jumpa hanyalah bakul muffin yang kosong. Muffin sebiji harganya RM 1, maka rugilah kami sebanyak RM 30. Masa itu RM 30 tu banyak pada saya, agak sedih jugalah. Tapi suami selalu cakap, " kalau beruk curi makan rambutan kita kat atas pokok kita halalkan je kan, ni orang curi makan muffin kita halalkan jela....". Selepas itu, banyak lagi kejadian curi-mencuri berlangsung, ada yang sempat curi roti dan curi air tin. Mereka ni pandai, masuk kedai ramai-ramai tapi yang belinya sorang je, yang lain "cover " kawan dia masuk roti dalam beg.
                         Ini kejadian beberapa tahun lepas, sekarang alhamdulillah nampak budak-budak sekolah ni dah sopan, berbudi bahasa dan pandai hormat orang tua. Mereka jugalah yang banyak menyokong kedai kami terutama semasa Hari Guru, Hari Merdeka, cuti penggal dan hujung tahun dengan membeli kek-kek untuk jamuan kelas mereka. Bila tiba hari-hari istimewa ini, memang terasa luar biasa sibuknya. Kalau dulu saya sibuk-sibuk nak tahu siapa yang curi muffin Kak Rozi, sekarang saya dah tak kisah lagi sebab dari dulu saya dah halalkan, dan Allah dah gantikan dengan yang lebih baik.
Alhamdulillah.
                          












Ini bukan muffin Kak Rozi ye.......ini red velvet cupcakes " The Bakers Place."

Friday, October 11, 2013

" Mak mana......mak? "

             Suatu ketika dulu saya pernah berbadan besar, senang cerita gemuklah. Memang sejak dari menjadi pelajar memang beginilah keadaan saya. Apabila saya dah kahwin, berat badan turun sedikit. Yang paling teruk ialah apabila saya mula buka kedai, berat badan saya mencecah 93 kg. Mana taknya, lebih-lebihan kek saya sayang nak buang, jadi tong sampahlah saya ini. Memang susah nak bawa badan dan kaki selalu sakit sebab kerja memang jarang boleh duduk.
            Beberapa tahun selepas itu ada seorang pelanggan yang telah agak lama tak datang di kedai muncul sambil bertanyakan saya, " Tokey kedai ni dah tukar ke? " Saya jawab, " Tak Puan,  masih tokey yang sama". Dia tanya lagi, " ye ke....mak mana...mak?. Saya jawab sambil terpinga-pinga, " hah...mak kat rumah, mak saya memang jarang datang sini". Dia balas lagi, " Alaa...tokey kedai ni makcik yang gemuk putih-putih tu...mana dia?
Saya pun jawab, " Puan, sayalah tokey kedai ni, takde tokey lain lagi dah, saya dengan suami saya je."
" Ha..ah, muka sama, macamana boleh kurus ni, kongsilah rahsia," panjang ha..ahnya itu.
             Selepas itu panjang jugalah cerita kami tentang petua-petua untuk langsing dan bagaimana untuk kekalkan berat badan yang ideal. Dia memang sangat teruja mendengar penjelasan saya. Mungkin sekarang ni dia pun dah "slim" juga. Saya tidak menjual apa-apa produk kuruskan badan atau menjadi duta mana-mana Pusat Pelangsingan badan. Harap Maklum.








Ececeh...dah macam model " Duniaku Kurus" pulak ye !

Wednesday, October 9, 2013

Business is Trust.

Pada tahun 2005, saya pernah menghadiri kursus Pembangunan Usahawan anjuran Mara (PUSMA), itu sebelum saya buka kedai. Di sana saya belajar dalam bisnes yang biasa adalah 
1) beli tunai - jual tunai
2) beli tunai - jual hutang ( tak bagus dan patut dielakkan)
3) beli hutang - jual tunai ( yang ini paling best!)

Tapi bukan senang ye orang atau supplier nak bagi kita berhutang.
Semasa mula berniaga, kami beli bahan di kedai bahan bakeri. Kami tertanya-tanya siapa pula yang 'supply' kepada kedai bahan ni? Suami mendapatkan maklumat daripada Tuan Haji Azmi dan Chef Farid Bakeri Ria. Mereka berdua ni 'otai' bakeri yang banyak membantu kami. Mentor yang sangat ikhlas membantu. 

Suami menghubungi salesman syarikat supplier. Kami beli dengan bayaran tunai. Barang dihantar terus dibayar. Lama kelamaan apabila mereka sudah percaya,  kami di benarkan membayar dengan menggunakan cek. Apabila mereka sangat-sangat percaya, kami ditawarkan  kredit sebulan. Dan apabila mereka sudah tak berbelah bagi percaya, mereka sanggup tak ambil cek berbulan-bulan. Sekarang kami pula yang perlu telefon mereka untuk ambil cek pembayaran. "Haiya, apa ada hal, Bakers Place punya pasal, esok saya datang angkat....."  Best kan?

Business is about trust. 


Maaf...saya tak jual tayar basikal.


                 Memiliki kedai sendiri memang menjadi impian ramai orang, tak kiralah berniaga apapun. Kami juga begitu, membuka kedai bakeri adalah impian kami. Bila sebut bakeri sudah tentulah ada roti, kek dan apa sahaja yang seangkatan dengannya.
                  Semasa kami baru berniaga, ada ramai pelanggan yang mencadangkan macam-macam produk yang patut dijual di kedai kami. Ada yang cadangkan nasi lemak, spaghetti, mee goreng, buah-buah potong, kuih-muih dan macam-macam lagilah. " Kat sini ramai orang lalu-lalang, kau letaklah nasik lemak bungkus, senang orang nak makan.." Cadang seorang makcik pada saya. Saya pun cakap.." Ya makcik, nanti saya tanya suami saya dulu sebab dia bos.." Itulah jawapan selamat saya.
                  Kemudian saya ajukan semua cadangan tu pada suami..." Betul juga cakap makcik tu, lagipun ramai pelanggan yang tanya.." Suami saya balas,.......letaklah sekali pelampung, tayar basikal, mentol lampu, senang orang nak beli..." Memang tak boleh blah punya jawapan. Suami beritahu di Korea  orang fokus jual satu jenis barang je, barulah orang panggil kita sebagai pakar. Pakar karipap, pakar ayam, pakar kek dan macam-macam pakarlah. 
                   " Okey.... you're the boss" balas saya dengan rasa tak puas hati. Di seminar Berani Berniaga, saya dengar benda yang sama seperti yang suami saya cakap dulu. Oklah saya mengaku kalah,  mujurlah dulu saya dengar cakap suami. Hehe...


                                        


I hate my life!!

             Apabila sudah asyik berniaga, terlalu sibuk menyediakan dan menguruskan keperluan orang lain, kadang kala kita terlupa tentang keperluan dan perasaan suami dan anak-anak. Terutama sekali anak-anak. Ketika baru mula berniaga, saya mula mengabaikan perasaan anak-anak saya. Apabila terlalu penat, anak-anak akan jadi mengsa kemarahan saya. Kadang-kadang bila mereka dah tidur, saya menangis mengingatkan kata-kata saya pada mereka. 
            
              Pernah suatu ketika saya terbaca diari anak saya menulis tentang perasaannya terhadap saya dan suami. Ada satu ayat yang merobek-robek hati saya yang ditulisnya ialah "I hate my life!!"      Kesian anak saya. Waktu itu dia berusia 9 tahun.Ketika itu saya dan suami merasakan kami adalah ibu bapa yang gagal. Saya buang diari lamanya dan saya berikan yang baru dan katakan kepadanya 
" Akak tulis benda yang akak suka je dalam diari ni...", dan dia tulis apa-apa saja yang menggembiarakan hatinya.
             
               Pesanan saya pada rakan-rakan yang baru nak berniaga atau dah lama berniaga, tolonglah ambil tahu keadaan anak kita, setiap hari tanyalah tentang perasaan mereka. Jangan biarkan saja mereka buat hal sendiri, asalkan cukup bagi makan pakai je. Ingat bahawa segala-gala yang kita buat sekarang adalah untuk mereka. Berikan perhatian pada mereka sementara mereka masih kecil agar bila kita dah tua, mereka akan beri perhatian pada kita pula.
             
              Oh..ya, sekarang anak sulong saya itu sudahpun berusia 15 tahun. Alhamdulillah dia sangat ceria, tenang dan bahagia dengan hidupnya sekarang ini. Dia sedang kuat berusaha menghabiskan hafazannya di Madrasah Hafizah Tamam bersama-sama adiknya. Sekarang dia pula menjadi kaunselor tak bertauliah pada kawan-kawannya. Dia juga suka menulis, saya kongsikan blognya di bawah ini. 

Syukur atas segala nikmat yang kau berikan pada hambaMu ini Ya Allah.


www.ketukpintuilmu.blogspot.com
 
www.menghiasimpian.blogspot.com

www.facebook.com/kedaikekthebakersplace

Tuesday, October 8, 2013

Tangan saya keras.....

               Untuk pengetahuan semua, saya ni bukanlah asalnya pandai memasak dan menghias kek. Sebelum ada kedai, saya hanya pandai buat roti dan buat biskut sikit-sikit. Setelah ada kedai, saya " dipaksa" untuk mendeco kek kerana pada masa itu sukar untuk mencari pekerja melayu yang mahir dalam bab deco-mendeco ni, tambahan pula masa tu tak mampu nak bayar gaji yang mahal. Saya cakap pada suami, "tak boleh, tangan saya keras".....suami saya balas " boleh, awak boleh....saya tahu awak boleh". Jadi terpaksalah saya pergi belajar mendeco kek yang pada mulanya saya tak minat. 
               
                Kelas pertama yang saya hadiri adalah kelas basic mendeco kek di Bakeri Ria Akademi, dan itu juga adalah kelas terakhir saya kerana selepas  itu dah tak sempat dah nak pergi belajar, terus jela praktis dan praktis di kedai. Saya masih ingat ada seorang pelanggan yang mengatakan kek saya nampak amatur. Saya mengaku saya amatur dan saya baru belajar mendeco, dan dia terus beli kek saya itu. Memang saya akui kek-kek saya masa tu sangat tidak cantik tapi kebanyakannya habis dijual. Alhamdullillah, semangat saya semakin berkobar-kobar dan lama-kelamaan skill saya bertambah mantap. Kemudian suami "arahkan" pula saya buat kek kahwin, kali ni saya dah ada keyakinan sedikit, saya sahut cabarannya. Ketika itu apabila saya tunjukkan bunga " buttercream" yang saya buat padanya dia komen..." Tak macam bunga ros pun...., macam bunga kantan". Saya tanya dia balik,...." bunga kantan macam ni ke?", sebenarnya saya rasa geram masa tu.
              
                  Di sebabkan komennya itulah saya berusaha lagi untuk buat bunga ros tercantik yang dia pernah tengok. Selepas itu banyaklah kek hantaran dan kek kahwin yang saya telah hasilkan, botingkek-tingkek bak kata Ustaz Ashraff. Semenjak itu saya semakin cintakan dunia kek dan aising.
Kata mentor saya, " Love what you do first, then do what you love". 

Di sini permulaan segala-galanya.....


                                                                                  
Alhamdulillah perniagaan bakeri kami berjalan lancar, setelah 6 bulan beroperasi suami berhenti kerja untuk " full time" menolong saya di kedai. Sejak itu kami sentiasa sibuk di kedai, kebanyakkan kerja kami buat sendiri. Mula dari membeli bahan, membuat roti, mendeco kek sampailah menjadi " cashier" dengan bantuan 3 orang pekerja. Memanglah sangat penat dan anak-anak sentiasa terbiar. Makan, mandi , tidur semua di kedai,  pukul 11 malam baru boleh balik rumah. Walaupun begitu, kami rasa sangat bersyukur kerana ada ramai pelanggan tetap, kalau tak ada pelanggan macamana nak buat duit kan?

Dalam beberapa tahun ini, Alhamdulillah peniagaan ini semakin berkembang dan kami berjaya membuka satu lagi cawangan. Sekarang kami telah ada seramai 11 orang pekerja mahir dan kami boleh tinggalkan kedai pada bila-bila masa yang kami suka. Cuma dalam tahun ini kami terasa macam ada yang kurang dalam bisnes kami ini. Kami dah lama tak cari ilmu dan dah tak " excited" macam dulu lagi, mungkin disebabkan oleh faktor usia.

Bulan Mac 2013 adalah hari bersejarah apabila kami menghadiri seminar " Berani Berniaga" di wisma PGRM. Memang terkejut ber...., melihat ramainya manusia yang beratur seawal jam 6 pagi.  Kami  beratur hampir 2 jam didepan pintu masuk, berhimpit- himpit pula tu, berkejar-kejar nak dapatkan tempat duduk. First time buat kerja macam tu, dalam hati rasa best juga, rasa macam budak - budak semula.
Dari situ kami dapat banyak elmu, macamana nak buat " fan page", Dr.Azizan ajar live kat atas  pentas. Kesian kami.... punyalah senang, sebelum ni tak tahu tapi taknak tanya orang. Doc juga cakap database tu penting, " Database Is King". MasyaAllah  sebelum ni beratus database pelanggan saya buang je dalam tong sampah. Habis kelas saya cakap dengan suami, kita mesti masuk kelas lanjutan, saya cakap saya nak duduk depan, saya mesti duduk depan setiap kali kelas! 

Seterusnya kami hadiri AMP bulan Mei, IMKK bulan Julai dan IJI bulan September2013. Impian saya untuk duduk depan setiap kali kelas Doc pun telah terlaksana. Sekarang ini suami saya sedang menghabiskan kelas Platinumnya. Alhamdulillah syukur yang tak terhingga pada Allah swt kerana menemukan kami dengan mentor yang dapat mengajar kami tentang perniagaan, kehidupan, kebahagiaan dan kekayaan. Untuk berjaya, tiru saja apa yang orang berjaya telah lakukan dan ulang perkara yang sama sehingga berjaya.
Selepas ini impian saya adalah membuka lagi 2 cawangan Baker's Place di Bangi dan Shah Alam pada tahun 2014, Insya Allah. Ameen.    

www.facebook.com/kedaikekthebakersplace

www.thebakersplace.blogspot.com             

My Story # 4


Impian kami yang seterusnya adalah memiliki kedai bakeri, tambahan pula tiada lagi kedai bakeri di sekitar wilayah kami hatta kedai  bakeri bukan melayu sekalipun. Ketika itu kami merasakan perlu adanya kedai bakeri melayu untuk memenuhi fardhu kifayah. 

Satu-satunya peluang kami adalah lot kedai di bangunan Pusat Komersial Komuniti yang hanya tinggal satu lot kosong di tingkat bawah. Setiap kali lalu di depan kedai tersebut, suami akan cakap, " nilah kedai bakeri kita", dan saya hanya akan senyum je. 
Inilah yang dinamakan "The Power Of Doa". Dengan bantuan Allah swt, Allah menggerakkan hati seseorang untuk menjadikan kedai kosong itu milik kami. Sewa kedai ketika itu adalah RM 1600 sebulan, kami harus membayar sewa untuk tiga bulan + deposit sebulan dan deposit utiliti. Ternyata untuk memiliki kedai tidak mudah, itu belum masuk " renovation" lagi. 

Alhamdulillah kami mampu membayar sejumlah wang untuk mendapatkan kunci kedai, peralatan bakeri memang telah sedia ada di rumah namun untuk menjimatkan kos , renovation kami lakukan sendiri. Macam tak percaya kan? Orang terdesak akan lakukan apa saja untuk survive selagi halal. 
Dah penat dah ni, esok sambung.

My Story # 3


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya sambung cerita semalam...
Dipendekkan cerita,  tak lama selepas itu kami beli 2 biji oven Europa dan mixer roti yang kecil dengan menggunakan kad kredit.  Maka bermulalah tugas   kami  membuat roti di rumah kemudian suami akan menjualnya di kawasan Flat Sri Kota di Bandar Tun Razak, dengan membawa troli yang dipenuhi dengan roti dan berjalan dari rumah ke rumah sambil membunyikan 'hon Bai Roti'. Suami saya akan mula menjual dari tingkat 16 dan turun setingkat demi setingkat.  Jualan amat memberansangkan, tak sampai 2jam roti cuma tinggal beberapa biji sahaja. Dari situ kami nampak bisnes ini ada potensi untuk berkembang.
Kemudian kami maju setapak lagi memberani diri membuka meja lipat di tepi LRT Bandar Tun Razak. Kami berniaga tanpa lesen dan permit. Beberapa kali juga kami terserempak dengan penguatkuasa DBKL, dan biasanya DBKL hanya akan arah kami berhenti berniaga dan beredar. Suami bawalah roti semua naik jual ke rumah flat.  Pengalaman berniaga di tepi jalan sangat berharga bagi kami. Membuang rasa ego dan tinggi diri. Anak-anak pun kami bawa bersama dan secara tak langsung mengajar mereka jangan malu menjual. 
Nanti saya akan kongsikan bagaimana "The Baker's Place" mula bertapak dan mencipta nama.

My Story # 2



Untuk pengetahuan semua, pada mulanya bukan saya yang belajar mengenai roti dan kek, tapi suami saya BahtiarAbdul Kassim. Dialah yang mula mencetuskan idea untuk belajar buat roti dan berniaga dari rumah. Saya tak yakin dan tak minat pada mulanya. Tambahan pula dengan anak yang masih kecil, mana mungkin saya keluar ke kelas tinggalkan anak-anak. Saya memang tak biasa. 
Kelas pertama yang dihadirinya ialah kelas membuat roti bersama Chef Liza Zainol. Dalam kelas tu semuanya perempuan kecuali dia sorang je.  Balik rumah dia beli tepung dan semua bahan dan dia pula mengajar saya buat roti. Saya masih ingat doh sekilo yang kami bancuh dan uli dengan tangan sebab tiada mesin dan kami uli bergilir-gilir sampai kenyal. Dengan peluh meleleh- leleh  memang tak henggat. Jangan risau, roti yang dah siap dibuat kami  makan sendiri!  Lenguh tangan seminggu tak hilang. Itu lah kurang ilmu namanya. Masa belajar ditunjukkan guna mesin mixer, tak tahupun cara betul uli dengan tangan. Hantam sajalah uli macam mana pun. Oven pun pakai oven yang RM150 tu je....
Dari situlah suami mula manghadiri kelas-kelas baking yang lain disebelah petang dan malam selepas waktu kerjanya. Saya tahu dia sangat penat tapi dia tak pernah merungut.

Bersambung lagi.

( My Story )

Assalamualaikum. Saya Noor Afizah Mohd. Salleh. Pengasas Kedai Kek The Baker's  Place beroperasi di Bandar Tun Razak dan cawangannya di Cheras, Kuala Lumpur.
Kepakaran kami adalah menyediakan kek kegemaran anda untuk menyerikan hari istimewa, harijadi mahupun majlis perkahwinan. Berapa ramai daripada anda menghadapi masalah tercari- cari di mana nak dapatkan kek yang sedap idaman kalbu buatan orang Islam yang diyakini halal dan suci. Baker's Place mempunyai penyelesaiannya.

Sebenarnya dulu kami tak macam ni, dulu saya  surirumah sepenuh masa, hanya suami yang bekerja. Walaupun berjawatan jurutera, kos hidup yang tinggi di Kuala Lumpur menyebabkan kehidupan kami cukup- cukup makan saja. Cukup untuk bayar hutang, sewa rumah, kereta dan selebihnya untuk makan anak beranak sampai hujung bulan. Memang tiada simpanan.

Cerita bermula apabila suami saya tidak bekerja selama beberapa bulan dan kami tak mampu bayar sewa rumah dan hampir dihalau dari rumah sewa. Anak-anak masih kecil berusia 6 dan 4 tahun. Tersentuhnya hati seorang ibu apabila hanya dapat beri anak makan nasi dengan telur goreng gred C. Saya memang banyak menangis ketika itu dan kami memang tak pernah minta tolong mak bapak sebab mereka pun bukannya senang. Kami juga tak mampu nak hantar anak ke sekolah tadika yang yurannya cuma RM 100 sebulan. Anak kami cuma sekolah tadika selama 3 bulan saja.

Saya akan kongsikan lagi cerita bagaimana kami mula buat roti di rumah dan menjualnya secara "direct selling" dari rumah ke rumah. -Bersambung-